Kisah Guru Sufi dan Si Bahlul

 
Kisah Guru Sufi dan Si Bahlul
Sumber Gambar: Dok. Laduni.ID (ist)

Laduni.ID, Jakarta – Ketika Syekh Junaid mendekati Bahlul, dia melihat Bahlul sedang gelisah sambil menyandarkan kepalanya ke tembok batu. Syekh Junaid memberi salam kepadanya dan beliau menjawab seraya bertanya semula, "Siapakah engkau?"

"Aku Junaid Al-Baghdadi." jawab ulama' sufi itu.

"Apakah engkau Abul Qasim (nama sebenar Syekh Junaid Al-Baghdadi) Apakah engkau Syekh Baghdadi yang sering mengajak manusia ke arah jalan kebaikan dan mencintai akhirat?" tanya Bahlul.

"Ya!" Jawab Syekh Junaid.

"Apakah engkau tahu cara makan?" tanya Bahlul sekali lagi.

Lalu Syekh Junaid menjawab, “Aku mengucapkan Bismillah. Aku makan yang ada di hadapan ku, aku menggigitnya sedikit, meletakkan di sisi kanan dalam mulutku dan perlahan mengunyahnya. Aku mengingati Allah sambil makan. Apa pun yang aku makan, aku ucapkan alhamdulillah. Aku cuci tangan sebelum dan sesudah makan."

Bahlul berdiri, menyebakkan pakaiannya dan berkata, "Kau ingin menjadi guru yang dihormati di dunia tetapi kau tidak tahu pun cara makan!"

Sambil berkata demikian, Bahlul berlalu pergi. Salah seorang murid Syekh Junaid berkata, "Wahai tuan, dia adalah orang gila."

"Ya, dia adalah orang gila yang bijak dan cerdas. Dengarkan kebenaran darinya," jawab Syekh Junaid. Dia kemudian mendekati Bahlul sekali lagi.

"Siapakah engkau?" tanya Bahlul.

"Syekh Baghdadi yang tidak tahu cara makan," jawab Syekh Junaid.

"Engkau tidak tahu cara makan tetapi adakah kau tahu cara berbicara?" tanya Bahlul.

"Ya", jawabnya. "Aku berbicara tidak kurang dan tidak lebih dan aku tidak terlampau banyak berbicara. Aku berbicara supaya pendengar mudah memahami. Aku tidak berbicara terlampau banyak supaya orang ramai tidak mudah bosan. Aku mengajak manusia ke jalan Allah dan Rasul," kata Syekh Junaid.

"Lupakan sahaja tentang makan kerana kau juga tidak tahu tentang bagaimana cara untuk berbicara," kata Bahlul. Dia berdiri dan berlalu pergi.

Anak murid Syekh Junaid berkata, "Wahai tuan, anda lihat sendiri dia adalah seorang yang gila. Apa yang tuan harapkan daripada orang gila sepertinya?"

"Ada sesuatu yang aku perlukan darinya yang kamu tidak tahu," jawab Syekh Junaid. Dia kemudian bangun dan mendekati Bahlul semula.

"Apakah yang kau mau lagi daripadaku? Kau tidak tahu cara makan dan berbicara, adakah kau tahu cara tidur?" tanya Bahlul sebaik Syekh Junaid mendekatinya.

"Ya, aku tahu. Selepas solat Isyak, aku mengenakan pakaian tidur, aku berwudhu, berdoa dan.." jawab Syekh Junaid menerangkan adab-adab tidur sebagaimana lazimnya diajarkan oleh para ulama'.

"Sudah, ternyata kau juga tidak tahu bagaimana cara tidur," kata Bahlul dengan tegas sambil bergegas bangun.

Tetapi kali ini Syekh Junaid menahannya, "Wahai Bahlul, aku tidak tahu, kerana Allah, maka ajarkanlah aku", pinta Syekh Junaid kepada Bahlul.

Bahlul menjawab, "Sebelum ini kau mengatakan bahwa kau tahu maka aku menghindari mu. Sekarang setelah kau mengaku engkau tidak tahu, maka aku akan mengajar kamu cara makan, berbicara dan tidur."

"Ketahuilah bahawa kebenaran yang ada disebalik makanan ialah makanan yang halal. Jika engkau memakan makanan yang haram dengan seribu adab sekalipun hanya tidak akan memberi manfaat melainkan menyebabkan hati mu menjadi hitam,” katanya.

“Kebenaran yang ada dibalik bicara ialah hati harus bersih sebelum berbicara dan percakapan kamu hendaklah menyenangkan Yang Maha Pencipta terlebih dahulu daripada yang mendengar. Sekiranya bicara mu hanya untuk urusan duniawi yang sia-sia dan tidak menjurus kepada Allah SWT maka ia akan mendatangkan malapetaka. Sebab itu diam adalah lebih baik daripada berkata-kata," lanjut Bahlul.

"Kebenaran yang ada di sebalik tidur adalah hati mu perlu bebas daripada sifat permusuhan dan kebencian sebelum tidur. Hati mu tidak boleh tamak akan kekayaan dunia. Maka ingatlah Allah SWT ketika kamu tidur", kata Bahlul kepada Syekh Junaid.

Kata-kata itu membuatkan Syekh Junaid Al-Baghdadi tersenyum. Ya, itulah jawaban yang diperlukan daripada lelaki yang dikatakan oleh masyarakat sebagai orang gila itu.

Syekh Junaid seorang wali sekaligus mursyid yang termasyhur itu dengan kerendahan hatinya kemudian menghulurkan salam dan mencium tangan Bahlul, lantas berdoa untuknya.

المجنون العاقل

Dikutip dari Abu Nawas Posmo


Editor: Daniel Simatupang